21.1.10

Pertaruh Noktah Cinta (alamak! salah pulak tajuknyer..)

Oleh Norhayati Nordin
Harian Metro 22 Januari 2010 (Jumaat)

SELAMA 13 tahun berkecimpung dalam industri muzik tanah air yang boleh dianggap antara pelopor irama nasyid dikenali, Saujana kini tampil dengan album ketujuh. Mempertaruhkan Noktah Cinta, pastinya harapan indah diimpikan untuk berjaya apatah lagi, selepas empat tahun menyepi daripada rakaman album baru,

Malah Saujana tetap yakin dengan kemunculan album baru selepas lama menyepi. Jika kebanyakan artis tanah air memilih menghasilkan single atau album mini memuatkan tujuh hingga lapan lagu dalam satu album, Saujana pula berani mengetengahkan 14 lagu baru yang turut memuatkan lagu Sepohon Kayu yang diberi nafas terkini.


Sufian berkata, menerusi rakaman semula yang dilakukan judul lagu itu kini diubah menjadi Sepohon Kayu Daunnya Rimbun. Selepas seminggu dipasarkan, sambutan ke atas album baru itu sangat menggalakkan terutama di kalangan belia.


"Memang menjadi sasaran kami pada awal kemunculan album ini untuk menarik golongan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan tidak disangka sambutannya pun baik. "Bagi saya, selepas empat tahun tak hasilkan album, ini mungkin masa ditunggu.


"Apapun, sebenarnya album ini sangat sesuai didengar untuk golongan berkeluarga kerana menepati cita rasa pelbagai peringkat usia. Bukan saja ibu bapa tetapi anak-anak juga boleh tertarik mendengarnya kerana rangkuman lagu-lagu yang bagus.

"Sehubungan itu, saya menjangkakan lagu seperti Noktah Cinta dan Patah Hati yang dicipta Hafiz Hamidun dan lirik ditulis Ahmad Fedtri Yahya akan menjadi pilihan pendengar. Buat anggota Saujana sendiri, lagu Patah Hati membawa makna tersendiri.


"Banyak kesan mendalam kami rasai pada lagu ini (Patah Hati). Oleh itu, kami mahu peminat mendengarnya dan menilai bersama. Selain itu, maklumat lanjut mengenai Saujana dan album ini, orang ramai boleh melayari laman web www.saujana.net.com," katanya.


Berkonsepkan irama nasyid progresif, Saujana memilih untuk memuatkan genre muzik seperti pop, samba, inang dan balada demi menepati kehendak pendengar. Diterbitkan Hijjaz Records Sdn Bhd (HRSB), album ini diedarkan Warner Music (M) Sdn Bhd dengan kerjasama HRSB.


Lagu lain dalam album Noktah Cinta ialah Titik Ajaib, Ya Muhaiminu Ya Salam, Khabar Dari Langit dan Sifatullah. Album ini mendapat sentuhan komposer yang giat aktif dalam bidang nasyid seperti Munif Ahmad, Isman dan Faizal dari kumpulan Hijjaz serta anggota Saujana yang turut menyumbang lagu.


Selain muncul dengan album baru, Saujana juga teruja dicalonkan dalam senarai 'top 5' Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009) berentap dengan empat kumpulan nasyid ternama tanah air, Raihan, Rabbani, Inteam dan Hijjaz.


Sufian berkata, kumpulannya sangat bersyukur dengan undian peminat dan ini adalah pencalonan kali kedua Saujana di ABPBH.


Ditanya apakah mereka sekadar pelengkap untuk senarai 'top 5', Sufian menolak andaian mengenai undian pencalonan dilakukan sendiri anggota Saujana. Katanya, dia yakin masih ada peminat dan Saujana sesekali tidak akan mengundi diri sendiri.

"Saya percaya pemilihan kami dibuat peminat. Menang atau kalah, adat bertanding. Apapun, hakikatnya Saujana berasa kerdil apabila melihat pesaing yang jauh lebih hebat. Sama ada Raihan, Rabbani, Inteam dan Hijjaz, masing-masing ada kelompok peminatnya.


"Malah, pada pencalonan awal lalu saya juga melihat banyak kumpulan nasyid dipertandingkan, tetapi syukur nasib dan rezeki menyebelahi kami. Justeru, saya melihat Saujana mampu memberi persaingan yang sihat dalam industri nasyid tempatan.


"Apapun, ingin saya jelaskan Saujana bukanlah kumpulan nasyid yang bergiat aktif sepenuh masa dalam bidang seni. Buat masa ini, anggota Saujana memiliki karier lain dan saya fikir ia lebih baik untuk masa depan kami," katanya.


Menurut Sufian, buat masa ini Saujana tidak menghadapi sebarang masalah dalam pembahagian jadual kerja dan aktiviti nyanyian. Katanya, syukur kepada Tuhan kerana sehingga kini semua yang dirancang berjalan lancar serta masih dapat dikawal.

1 comment:

puteri said...

haha.. guane la buleh tersalah eja, salah dengar, salah mksud, salah pblish. isq